MIRI, 14 Jan: Keperluan menaik taraf infrastruktur Lapangan Terbang Miri menjadi fokus utama untuk menyokong peningkatan kesalinghubungan udara dan pertumbuhan ekonomi bandaraya ini.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, cadangan pengembangan bernilai RM255 juta yang diperkenalkan pada 2017 telah mengalami kelewatan akibat peralihan kerajaan.
“Dengan kapasiti lapangan terbang kini hanya mampu menampung 2 juta penumpang setahun, sedangkan jumlah penumpang pada 2019 sudah mencecah 2.5 juta, pelanjutan terminal kini menjadi keperluan mendesak.
“Kami telah mengemukakan cadangan jangka pendek untuk memperluaskan terminal, menambah satu lagi bay untuk penerbangan antarabangsa, serta meningkatkan aliran penumpang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Perasmian Penerbangan Sulung Batik Air Kuala Lumpur-Miri di Lapangan Terbang Miri hari ini.
Kim Shin turut menekankan bahawa kejayaan penerbangan sulung Batik Air dari Kuala Lumpur ke Miri menunjukkan potensi Miri sebagai hab perjalanan udara serantau.
Dalam pada itu, Kementerian Pengangkutan Sarawak juga merancang untuk meningkatkan perkhidmatan, termasuk menambah penerbangan domestik dan antarabangsa bagi memenuhi permintaan.
Dikenali sebagai Bandar Peranginan, Miri adalah pintu masuk kepada pelbagai tarikan pelancongan serta hab penting untuk industri minyak dan gas.
“Miri mempunyai komuniti perniagaan yang sangat aktif dan sektor pelancongan yang pesat berkembang. Lebih banyak penerbangan adalah penting untuk menyokong keperluan ini,” tambahnya.
Beliau turut mendedahkan bahawa perbincangan sedang dijalankan untuk memperluaskan operasi Batik Air, termasuk membuka laluan antarabangsa dari Miri.
“Lokasi strategik Miri yang sebanding dengan Kota Kinabalu, menjadikannya titik pelepasan ideal ke destinasi seperti Guangzhou, Taipei dan Shenzhen,” katanya. – TVS