KUALA LUMPUR, 13 Jan: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan integriti peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpelihara.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata perkara itu diberi perhatian serius kerana turut melibatkan maruah negara.
Jelas beliau siasatan KPM susulan dakwaan berlaku kebocoran soalan SPM bagi subjek Sejarah sebelum ini mendapati perkara itu tidak memenuhi maksud bocor di bawah definisi Lembaga Peperiksaan (LP).
“SPM ini merupakan peperiksaan yang berkepentingan tinggi, jadi soal keselamatan dan kerahsiaan memang dijaga.
“Apa sahaja dakwaan berkaitan dengan kebocoran ini diambil secara serius oleh KPM dengan ia mesti ditangani segera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir pada Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Tahun 2025 di Auditorium Tan Sri Abdul Rafie Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Sebelum ini, tular di platform media sosial mengenai pelajar berkongsi soalan dan jawapan Kertas 1 dan Kertas 2 mata pelajaran Sejarah beberapa hari sebelum diduduki calon.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM akan mengambil tindakan perundangan terhadap individu terlibat sekiranya dakwaan itu kebocoran itu wujud.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM juga mahu memastikan calon SPM tidak terjejas susulan khabar angin berkenaan.
“Jadi saya tegaskan sehingga, kita telah mengambil semua langkah berjaga-jaga untuk pastikan soal integriti kertas peperiksaan SPM dijaga dengan sepenuhnya kerana ini melibatkan maruah negara,” katanya.-TVS.