KANOWIT, 13 Jan: Sepasang suami isteri bersama bayi perempuan mereka berusia empat bulan berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba selepas kenderaan mereka terkandas akibat banjir di Jalan Lukut-Penyulau di sini, pagi ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan berkata pasangan Mohd Syaiful Ibrahim, 41, isterinya Suria Rosli, 29, dan bayi perempuan mereka, Aliana Afisya, dibawa ke tempat selamat pada 7:33 pagi.
Keluarga berkenaan dalam perjalanan dari Sibu ke Pekan Kanowit untuk menghantar sayur, namun cubaan mereka melalui jalan yang ditenggelami air gagal, menyebabkan kenderaan mereka terkandas.
Bomba menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 6:15 pagi, seterusnya menggerakkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit yang ke lokasi menggunakan kenderaan pikap dan tiba di lokasi pada 6.50 pagi.
Setibanya pasukan itu di lokasi, air banjir didapati mencapai kedalaman sehingga 1.2 meter.