DARO, 12 Jan: Kerajaan Sarawak bakal menganjurkan beberapa siri jelajah untuk membantu penduduk khususnya di luar bandar untuk memahami serta mendaftar Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, bantuan SKAS juga akan disediakan di pusat khidmat wakil rakyat.
“Kadang-kadang ada beberapa keluhan dan keresahan daripada masyarakat luar bandar yang mengatakan mereka sukar untuk mendaftar disebabkan jaringan rangkaian Internet dan sebagainya.
“Tetapi saya harap mereka terus bersabar kerana kita akan mengadakan beberapa jelajah yang akan diadakan oleh beberapa agensi untuk membantu mereka yang mungkin ingin dibantu,” katanya kepada media hari ini.
Abdullah berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Pelancaran Liputan Baharu Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN) di Kampung Betanak, Pulau Bruit, Daro, hari ini.
Hadir merasmikan majlis ialah Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Ahli Parlimen Tanjung Manis Yusuf Abd Wahab dan Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi serta Ketua Pegawai Eksekutif SDEC Dato Sudarnoto Osman turut hadir.
Kerajaan Sarawak sebelum ini memperkenalkan SKAS untuk mengurangkan beban kewangan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.
Antara syarat kelayakan adalah penerima adalah rakyat Sarawak dan merangkumi isi rumah yang berpendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima bantuan bernilai RM800, warga emas yang tidak mempunyai pasangan dan anak dengan pendapatan RM5,000 ke bawah akan menerima bantuan RM400 serta Individu bujang dengan pendapatan RM2,500 ke bawah akan menerima bantuan RM250. – TVS