SIBU, 12 Jan: Pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak terutama sekali di luar bandar akan terus diperkasa Kerajaan Sarawak melalui inisiatif Sarawak Rural Broadband Network (MySRBN).
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, MySRBN diharap dapat membantu komuniti luar bandar untuk meningkatkan penyertaan dalam ekonomi digital, termasuk perniagaan dalam talian.
“Lebih 90 peratus perniagaan di Malaysia, termasuk Sarawak, adalah dari kategori PKS. Baki selebihnya adalah perniagaan besar. Dengan kemudahan MySRBN, penduduk luar bandar diharapkan dapat meningkatkan penglibatan mereka dalam ekonomi digital, termasuk perniagaan dalam talian.
“Produk-produk tempatan juga boleh dipasarkan melalui transaksi dalam talian,” katanya pada sidang media di Majlis Pelancaran MySRBN di Kampung Betanak, Pulau Bruit, Daro, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Sarawak menyediakan pakej internet mampu milik melalui MySRBN menunjukkan komitmen kerajaan terhadap kesejahteraan komuniti luar bandar dan pedalaman.
Sementara itu, Julaihi memberitahu kini sebanyak 585 tapak MySRBN telah beroperasi di seluruh Sarawak dan akan terus diperluas untuk memberikan akses internet berkualiti tinggi.
Katanya, MySRBN menggunakan menara Telekomunikasi Luar Bandar Lembaga Multimedia Sarawak (SMART) yang dibina oleh Sarawak Digital Economic Corporation (SDEC) dan menyatakan hasrat supaya MySRBN turut boleh disediakan di menara JENDELA di seluruh Sarawak.
“Kerajaan sedang berbincang dengan SDEC dan MCMC untuk menyelaraskan kemudahan ini, supaya MySRBN boleh digunakan di menara JENDELA (Jalinan Digital Negara) pada masa depan. Usaha ini bertujuan untuk memperluas liputan MySRBN ke seluruh Sarawak,” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Semop, Datuk Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab dan Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi serta Ketua Pegawai Eksekutif SDEC, Dato Ir. Ts. Sudarnoto Osman. – TVS