MIRI, 12 Jan: Pasukan Batalion ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) hari ini mengadakan perbarisan panji-panji sempena ulang tahun ke-48.
Ia juga meraikan sejarah panjang pencapaian dan komitmen pasukan tersebut dalam menjaga kedaulatan negara serta melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang.
Pegawai Memerintah Batalion Kedua Puluh Rejimen Askar Melayu Diraja Leftenan Kolonel Mohd Izwan Ramli memuji dedikasi anggota pasukan selama hampir lima dekad.
“Dalam usia 48 tahun, pasukan ini telah mencapai kejayaan dalam melaksanakan tugas operasi, latihan dan lain-lain penugasan.
“Pasukan ini terus memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan negara, sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan dengan notis singkat serta membantu pihak berkuasa awam menangani bencana alam dan melaksanakan program Jiwa Murni di kawasan tanggungjawabnya,” katanya.
Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran, 20 RAMD tetap komited terhadap mandat yang diamanahkan.
“Kita tidak harus leka serta membiarkan ada dalam kalangan anggota pasukan yang cuba melanggar peraturan dan mencemarkan imej pasukan. Akhirnya, ini akan mengakibatkan imej serta kewibawaan Angkatan Tentera Malaysia dipersoal atau diperlekehkan,” ujarnya.
Beliau turut menyeru semangat kekitaan atau esprit de corps terus disemai dalam kalangan anggota.
“Sistem yang baik sahaja tidak mencukupi tanpa semangat cintakan pasukan serta organisasi, sifat kekitaan atau esprit de corps dalam kalangan anggota. Ia adalah semangat persaudaraan, rasa bangga dan dedikasi yang tinggi dalam setiap individu terhadap pasukan.
“Dengan menyemai nilai esprit de corps dalam diri setiap anggota, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kekuatan pasukan tetapi juga melahirkan individu yang setia, berani dan bersemangat tinggi,” jelasnya.
Dengan kekuatan seramai 201 anggota termasuk 18 pegawai, perbarisan tersebut menjadi lambang keutuhan dan kesetiaan pasukan dalam mempertahankan kedaulatan negara.-TVS