BERLIN, JERMANY, 11 JAN: Jerman telah menyuarakan kebimbangan serius terhadap sebuah kapal tangki besar yang hanyut di lepas pantai utara negara itu, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada “armada bayangan” yang digunakan oleh Rusia untuk mengelak sekatan eksport minyak.
Memetik sumber dari AFP, kapal tangki bernama Eventin, sepanjang 274 meter dan membawa hampir 100,000 tan minyak, dilaporkan tidak dapat bergerak di Laut Baltik.
‘Kapal tersebut dalam perjalanan dari Rusia ke Mesir ketika masalah itu berlaku sekali gus mencetuskan tindakan segera oleh pihak berkuasa maritim Jerman, yang menghantar kapal tunda kecemasan untuk menstabilkan kapal berkenaan.
Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, mengkritik Rusia kerana menggunakan “kapal tangki usang” yang beliau sifatkan sebagai risiko besar kepada keselamatan Eropah.
Menurutnya, tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin, bukan sahaja melanggar sekatan antarabangsa tetapi juga boleh membawa bencana alam sekitar di Laut Baltik sekiranya berlaku kemalangan.
Walaupun Eventin berlayar di bawah bendera Panama, ia dipercayai sebahagian daripada rangkaian kapal yang dikenali sebagai “armada bayangan”, digunakan untuk terus mengeksport minyak Rusia secara rahsia.
Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kebocoran minyak dari kapal tersebut, namun keadaan laut bergelora dengan angin kencang meningkatkan risiko situasi bertambah buruk serta tiada keputusan muktamad dibuat sama ada kapal itu akan ditunda ke pelabuhan.
Tindakan Rusia ini telah menarik perhatian global, dengan negara Barat seperti Amerika Syarikat, Britain, dan Kesatuan Eropah memperketatkan sekatan terhadap kapal yang dipercayai sebahagian daripada armada ini.
Setakat ini, lebih daripada 70 kapal telah disekat oleh EU, dan sekatan tambahan dikenakan ke atas 180 kapal lain oleh AS dan Britain pada hari yang sama.
Kejadian ini bukan sahaja mencerminkan risiko besar yang dihadapi oleh negara-negara Eropah di Laut Baltik, tetapi juga menonjolkan taktik Rusia untuk terus menjalankan eksport minyak walaupun di bawah tekanan sekatan antarabangsa.