PUTRAJAYA, 10 Jan: Malaysia dan Jepun bersetuju untuk mempertingkat perkongsian strategik dalam aspek pendidikan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatnya, Shigeru Ishiba telah membincangkan pelbagai inisiatif untuk memperkasa bidang pendidikan di kedua-dua negara termasuk penubuhan kampus cawangan Universiti Tsukuba di Malaysia.
Jelas beliau, kerjasama yang dijalinkan adalah melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kerjasama lain adalah (membabitkan universiti di Jepun) dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTem) dan Waseda University, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Japan International Institute Technology dengan penglibatan TVET,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar bersama Ishiba di Kompleks Perdana Putra di sini, sempena lawatan rasmi pertama pemimpin itu ke Malaysia, hari ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin
Sementara itu, Anwar berkata beliau juga akan meminta untuk memasukkan Universiti Keio yang juga universiti pengajian Ishiba dalam program yang dilaksanakan.
“Ini adalah termasuk dari segi dialog peradaban kerana terdapat minat untuk mengkaji antara Islam dan Taoisme,” katanya.
Jelas Anwar, selain pendidikan, kedua-dua negara juga ingin mengukuhkan hubungan dua hala dalam perdagangan, pelaburan dan tenaga bersih. – TVS