MIRI, 10 Jan: Seekor ular sawa albino sepanjang tiga meter berjaya ditangkap oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong di Taman Greenville, Desa Senadin di sini, pada Khamis.
Komander Operasi BBP Lutong, PBK II KUP Edwin Siba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8:29 malam daripada seorang penduduk berkaitan haiwan peliharaan berkenaan telah terlepas.
Menurutnya pasukan bertindak pantas menangkap ular itu menggunakan peralatan khas penjerut ular yang sepanjang 10 kaki dan seberat 30 kilogram.
“Operasi dimulakan pada jam 8:38 malam dan berjaya diselesaikan dalam masa kurang daripada 12 minit. Ular tersebut berjaya ditangkap dengan selamat tanpa sebarang insiden,” katanya.
Ular sawa tersebut telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut. – TVS