KUALA LUMPUR, 30 Ogos: Ibarat adegan dalam filem aksi apabila seorang lelaki yang menyamar sebagai polis untuk menyamun warga asing, kemudian bertindak melanggar beberapa kenderaan milik orang awam.
Aksi ganas suspek berterusan apabila dia cuba pula merempuh anggota polis dan seterusnya memandu secara lawan arus.
Semua kesalahan berkenaan dilakukan oleh seorang lelaki warga tempatan yang terdesak untuk menyelamatkan diri apabila cuba diberkas polis.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, dalam kejadian pada pukul 6.30 petang Sabtu lepas di hadapan Pangsapuri Sri Rakyat, di Bukit Jalil , suspek pada mulanya memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan membuat pemeriksaan terhadap seorang lelaki rakyat asing.
” Suspek kemudian mengambil wang tunai mangsa sebanyak RM150 namun kejadian itu disedari oleh dua anggota Balai Polis Bukit Jalil yang sedang menjalankan tugas rondaan dan mereka cuba menahannya namun suspek melarikan diri dengan kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih yang menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Muhammad Idzam memberitahu, anggotanya mengejar kereta dipandu lelaki itu dan ketika sedang memecut laju, suspek telah melanggar beberapa kenderaan lain sebelum terhalang oleh kereta yang berhenti di lampu isyarat merah.
“ Polis telah mengarahkan suspek untuk keluar dari keretanya namun lelaki itu bertindak agresif apabila memandu secara meluru untuk melanggar anggota saya namun mereka berjaya menyelamatkan diri ,” katanya.
Katanya, anggota polis berkenaan kemudian melepaskan empat das tembakan ke arah tayar kereta namun suspek dapat melarikan diri dengan memandu menaiki pembahagi jalan.
” Suspek kemudian memandu secara melawan arus ke arah Lebuhraya KESAS menghala ke Shah Alam,” katanya.
Beliau memberitahu, Bahagian Siasatan Jenayah , Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras seterusnya melancarkan operasi khas pada pukul 8.50 malam tadi dan menyerbu sebuah kediaman di Taman Sentosa, Klang , Selangor.
” Suspek yang berusia 43 tahun berjaya ditahan dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah Methamphetamine selain semakan mendapati lelaki berkenaan memiliki beberapa rekod jenayah berkaitan dadah ,” katanya.
Ujarnya, suspek kini direman selama lima hari untuk melengkapkan siasatan. -TVS
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.