KUCHING, 30 Ogos: Cubaan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyelinap masuk ke negara melalui lorong tikus di sempadan berjaya dilumpuhkan pasukan Tentera Darat dalam dua kejadian berasingan pada Ahad.
Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas Divisyen Pertama Infantri berkata pengusiran pertama dibuat sekitar jam 2 petang ketika anggota sedang menjalankan serang hendap sebelum mengesan tiga lelaki di sekitar Kampung Stass, Serikin, Bau.
Pemeriksaan yang dilakukan mendapati ketiga-tiga mereka yang berusia antara 20 hingga 35 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Pengusiran kedua pula dibuat di Biawak, Lundu pada jam 4:45 petang di mana sembilan individu dikesan cuba memasuki Malaysia menggunakan jalan yang tidak diwartakan.
“Setelah disoal siasat, kesemua mereka yang terdiri daripada enam lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia antara 7 hingga 53 tahun juga tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Kesemua PATI daripada kedua-dua tangkapan berniat memasuki Malaysia dengan niat mencari pekerjaan.
Mereka diarahkan berpatah balik ke negara asal dan kes telah dilaporkan ke Balai Polis Bau dan Lundu.