PETALING JAYA, 9 Jan: Sebanyak 39 rakan strategik dan rakan kerjasama Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 diraikan pada Majlis Sesi Penglibatan bersama Pemain Industri Pelancongan Wilayah Tengah di sebuah hotel di Petaling Jaya, hari ini.
Kesemua agensi dan syarikat melibatkan sektor perhotelan, pengangkutan, agensi pelancongan dan media menerima sijil yang disampaikan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Antaranya TV Sarawak (TVS) yang diwakili Timbalan Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Media Group (SMG), Kushairi Abang.

Menurut Tourism Malaysia, kesemua rakan strategik dan rakan Kongsi TMM2026 akan memainkan peranan penting dalam merealisasikan hasratnya untuk meningkatkan hasil pelancongan, mengukuhkan daya saing global Malaysia sebagai destinasi pelancongan, dan meletakkan sektor itu sebagai penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara. – TVS