PETALING JAYA, 9 Jan: Isu sensitif berkaitan agama dan perkauman yang dipersoalkan pembangkang dengan mempertikaikan video montaj pelancaran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 perlu dihentikan bagi mengelakkan berlakunya keadaan huru-hara dalam kalangan masyarakat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pihaknya sedia bersemuka dengan pihak yang mempersoalkan video montaj itu bagi menjernihkan keadaan.
“Saya minta di media sosial janganlah main isu perkauman dan agama, kalau kami (MOTAC) ada silap, minta datang pejabat saya untuk berbincang dan kita cari jalan penyelesaian.
“Kita belum mula lagi Tahun Melawat Malaysia 2026, tetapi seolah-olah sudah ‘mati’. Kenapa main sentimen macam ini?, kalau tidak faham mengenai video montaj itu, jumpa saya.
“Bagilah peluang sedikit, saya tidak takut dicabar, mana orang politik nak cabar, saya boleh lawan, tapi janganlah main sentimen perkauman dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sesi Penglibatan bersama Pemain Industri Pelancongan Wilayah Tengah di sebuah hotel di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan.
Mengulas lanjut, Tiong menegaskan montaj berdurasi 40 saat itu hanyalah video pelancaran TMM 2026 dengan memberitahu versi penuhnya lebih terperinci dan akan dilancarlan dalam masa terdekat.
Tiong menjelaskan, video rasmi TMM 2026 menggabungkan paparan unik bagi setiap negeri.
“Tadi saya ada lihat tapi saya minta untuk disunting semula kerana kita mahu paparan setiap negeri ada bagi memudahkan pelancong luar untuk faham.
“Kita minta kerajaan negeri untuk bekerjasama dengan memaklumkan kepada kita sekiranya ada lokasi, makanan atau apa-apa sahaja untuk kita masukkan dalam video promosi itu,” ujarnya.
Baru-baru ini, video promosi TMM 2026 mendapat kritikan kerana tidak memaparkan daya tarikan Islamik termasuk masjid. – TVS