KUCHING, 9 Jan: Kerajaan Sarawak terus mengukuhkan komitmen terhadap pendidikan awal kanak-kanak dengan memperuntukkan RM14 juta kepada 2,800 institusi pendidikan awal kanak-kanak yang berdaftar tahun ini.
Setiausaha Politik Premier Sarawak, Abang Abdul Aziz Abang Draup berkata, peruntukan itu disalurkan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak bagi memperkasa kualiti pendidikan prasekolah di wilayah ini.
“Ini adalah tanggungjawab sosial kerajaan untuk meningkatkan mutu pendidikan generasi muda bermula di peringkat prasekolah.
“Setiap institusi tabika dan Taska KEMAS di Sarawak turut menerima RM5,000 setahun di bawah Geran Tahunan Khas (GTK). Ini bertujuan memperkukuh suasana pembelajaran serta memperkenalkan pemakanan yang sihat dan seimbang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Hari Apresiasi Kanak-Kanak Tabika dan Taska Permata KEMAS Parlimen Petra Jaya sesi 2024/2025 di Dewan Majma Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini, hari ini.
Turut hadir Pegawai KEMAS Bahagian Kuching, Hazlinah Samsir dan mantan Penyelia KEMAS Petra Jaya, Naimah Amin.
Menurut Abang Abdul Aziz, sebanyak 98.81 peratus kanak-kanak di Sarawak mendapat pendidikan awal sebelum melangkah ke darjah satu pada tahun lepas.
“Mengambil kira peratusan yang memberangsangkan ini, Kerajaan Sarawak terus melaksanakan pelbagai inisiatif demi kesejahteraan kanak-kanak,” ujarnya.
Selain pendidikan awal, kerajaan turut menumpukan perhatian kepada pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi (IPT).
“Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM30 juta untuk memberi insentif kepada pelajar IPT Sarawak di seluruh negara melalui pemberian wang saku sebanyak RM1,200 pada tahun ini.
“Sarawak juga bakal mencipta sejarah apabila menjadi wilayah pertama di Malaysia menawarkan pendidikan percuma kepada semua anak Sarawak menjelang 2026,” kata Aziz.
Aziz melahirkan keyakinan program seperti itu mampu menyuntik keyakinan, kematangan dan daya saing kanak-kanak dalam menghadapi cabaran masa depan terutamanya pada era digitalisasi pada masa kini
Seramai 520 kanak-kanak tabika dan Taska Permata KEMAS dari Parlimen Petra Jaya diraikan pada hari apresiasi tersebut.-TVS