KUCHING: Prihatin terhadap nasib yang sedang menimpa para nelayan di Sarawak ekoran pandemik Covid-19, Lembaga Kemajuan Ikan Negeri Sarawak (LKIM) telah menyumbang peruntukan sebanyak RM40 Ribu kepada 800 orang ahlinya.
Sesi penyerahan peruntukan disempurnakan oleh Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Negeri Sarawak (LKIM) Encik Mastam Nodo.
Beliau menyifatkan sumbangan ini sebagai salah satu bantuan dan keprihatinan MAFI dan LKIM terhadap kelangsungan hidup para ahli dan masyarakat nelayan terutamanya ketika tempoh mencabar ini.
“Sumbangan yang diberikan pada hari ini diharapkan dapat membantu golongan sasar iaitu nelayan yang terkesan dan juga yang memerlukan bantuan ekoran penularan wabak pandemik Covid-19 yang melanda dunia,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, bantuan bakul makanan secara” One Off” ini turut diadakan serentak di seluruh negara.
Mastam menambah, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) ini sekaligus diharap meringankan beban kepada yang terkesan terutamanya golongan barisan hadapan.
“Bantuan ikan sejuk beku yang dikeluarkan oleh persatuan nelayan juga kita telah sumbangkan kepada barisan hadapan seperti Polis, KKM, ATM dan mana-mana yang terlibat.
“Baru-baru ini kita telah buat penyerahan di Belawai dan tanjung Manis, Miri, Betong dan seluruh Sarawak,” tambah Mastam
Pada majlis yang sama, bendera Malaysia diserahkan kepada para nelayan bersempena Bulan Kemerdekaan Ke-64 dan 50 tahun LKIM Peringkat Negeri Sarawak.