KUCHING, 8 Jan: Individu yang menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak bakal menerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) secara tunai yang akan disalurkan ke akaun bank masing-masing.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata keputusan tersebut dibuat mengambil kira keadaan rakyat yang mengalami kesukaran dalam mengakses aplikasi S-Pay Global.
“Klien kita yang menerima bantuan bulanan daripada JKM termasuk bantuan warga emas, bantuan ibu tunggal, bantuan rakyat kita yang miskin, bantuan pesakit terlantar dan bantuan OKU, kesemua mereka mempunyai akaun bank sendiri jadi mereka tidak perlu buka akaun bank baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja rakan strategik Kenyalang Gold Card (KGC) di Syarikat Jasmin Jawahar di India Street Kuching hari ini.
Fatimah berkata, pihaknya hanya perlu membantu mereka mendaftar dan melihat kategori kelayakan SKAS.
Jelasnya, Unit Digitalisasi Perkhidmatan Awam Sarawak (SCSDU) dan Sarawak Information Systems (SAINS) akan melakukan semakan kategori.
“Kita tahu mereka layak, cuma kategori apa kerana terdapat banyak kategori. Untuk berkeluarga, kategori RM800. Kalau warga emas, RM400. Kalau bujang, lain lagi. Ini yang akan dilakukan oleh pihak SCSDU dan SAINS,” ujarnya.
Menurutnya, bantuan akan disalurkan kepada JKM bagi melaksanakan proses pembayaran kepada para penerima bantuan. – TVS