SARIKEI: Seorang lelaki berusia 21 tahun ditahan kerana dipercayai mencederakan ayahnya dengan pisau berikutan satu pertengkaran di rumah mereka di Kampung Hilir Selalang pada malam Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Sarikei, Superintendan Awang Arfian Awang Bujang berkata, suspek dan bapanya, 53, dikatakan sering tidak bersefahaman namun pertengkaran mereka semasa kejadian bertukar pertumpahan darah apabila suspek bertindak menikam bapa kandungnya.
“Kedua-dua anak dan bapa selalu bertengkar kerana tidak ‘ngam’ (sefahaman) antara satu sama lain sehingga suspek bertindak mengambil sebilah pisau dan menikam bapanya,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, sepasukan polis telah pergi ke lokasi kejadian berikutan satu laporan polis mengenai kejadian diterima pada jam 1.10 pagi Sabtu.
Ujarnya, suspek yang merupakan penganggur telah berjaya ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Sarikei untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Difahamkan, mangsa telah menerima rawatan di Hospital Sarikei dan keadaannya dilaporkan stabil.
Tambahnya, suspek telah direman empat hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan pisau.