PUTRAJAYA, 7 Jan: Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura hanya akan dilaksanakan sekiranya terdapat penyertaan pihak swasta, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, keputusan itu diambil susulan kewangan kerajaan yang terhad ketika ini.
Tambah beliau, kerajaan ketika ini menumpukan usaha untuk menyelesaikan isu melibatkan rakyat yang lebih mendesak.
“Kami (Kerajaan Malaysia memberi keutamaan untuk) membasmi kemiskinan, (melaksanakan projek) tebatan banjir (serta) infrastruktur asas (di samping) pendidikan dan kesihatan awam sebagai keutamaan ketika ini sekurang-kurangnya untuk tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Oleh itu projek mega akan ditangguhkan, tetapi kami masih menunggu beberapa cadangan yang positif oleh sektor swasta untuk diteruskan apabila perlu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong selepas Mesyuarat Pemukiman Pemimpin Malaysia – Singapura di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
Pada Julai tahun lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memberitahu bahawa rundingan dengan Singapura mengenai HSR hanya boleh dimulakan selepas Kabinet membuat keputusan dasar dengan kerajaan memakluman projek itu menelan belanja sehingga RM100 bilion.
Dalam pada itu, menjawab soalan pemberita mengenai penyelesaian isu-isu berkepentingan antara Malaysia dan Singapura seperti persempadanan maritim, harga bekalan air dan ruang udara, Anwar berkata beliau dan Lawrence bersetuju untuk mengadakan mesyuarat pada setiap suku tahun bagi menoktahkan tuntutan kedua-dua negara yang sudah berpanjangan sejak berdekad lamanya.
“Kami melihat ada keperluan mengadakan mesyuarat singkat untuk menyemak perkara ini dan dengan cara itu pakar pasukan teknikal kedua-dua negara dapat menanganinya dengan segera.
“Tidak perlu menunggu beberapa dekad akan datang untuk menyelesaikannya kerana kita boleh capai persetujuan, tidak semestinya ia dilakukan dalam perjanjian tahunan akan datang,” katanya.
Anwar menambah, kerajaan kedua-dua negara komited untuk menyelesaikan isu – isu yang berbangkit dengan menegaskan segala keputusan yang diambil tidak memberi impak terhadap kerjasama sedia ada. – TVS