KUCHING, 6 Jan: Padah membuat gurauan membawa pistol tiruan sambil berbasikal yang videonya tular di media sosial, seorang lelaki diberkas polis di kawasan Jalan Tun Jugah di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, tangkapan suspek berusia 36 tahun ini dilakukan pada jam 4.05 petang.
“Pihak polis turut merampas satu unit pistol tiruan, sebuah basikal serta beg duit, kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua- duanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu video tular di media sosial berdurasi lapan saat memaparkan seorang lelaki berbasikal sambil memegang objek menyerupai pistol di tepi Jalan Tun Jugah.
Mohd Farhan memohon saksi untuk tampil menyalurkan maklumat berkaitan kejadian itu dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nasyirah Kisun di talian 016-8284373.
“Orang awam dinasihatkan bahawa pemilikan atau membawa pistol tiruan merupakan kesalahan di bawah akta tersebut serta tidak menyebarkan video itu kerana boleh menimbulkan kegusaran dan ketenteraman awam di kalangan masyarakat,” tegasnya.-TVS