SPAOH, 5 Jan: Masyarakat luar bandar digesa lebih berhati-hati dengan panggilan telefon yang diterima daripada individu tidak dikenali atau mereka yang menawarkan pelaburan atau peluang untuk mendapatkan keuntungan menarik.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut dan sindiket penipuan sedemikian biasanya menyasarkan golongan luar bandar.
“Kita mesti sentiasa berhati-hati dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Kita perlu tahu siapa yang sedang menghubungi kita.
“Kita jangan mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang besar. Scammer kini mempunyai pelbagai taktik untuk menipu wang atau simpanan anda,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Uggah berkata demikian ketika berucap di Rh Mendit Unsu di Penom seterusnya merasmikan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban.
Pusat yang bernilai kira-kira RM400,000 itu merupakan projek Kementerian Komunikasi yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Ia merupakan salah satu daripada empat pusat di bawah kawasan Parlimen Betong manakala tiga lagi pusat adalah di Betong, Debak dan Spaoh.
Pada masa sama, Uggah turut menasihati mana-mana mangsa untuk membuat laporan polis jika mereka menjadi mangsa penipuan tersebut.
Beliau turut menyuarakan harapan agar golongan belia khususnya yang berada di luar bandar agar menjauhi aktiviti perjudian dalam talian kerana perbuatan tersebut bukan sahaja merosakkan masa depan malah membawa kesan buruk kepada diri, keluarga dan masyarakat.
Sementara itu, kata Uggah, kursus latihan yang berkaitan dengan perdagangan dalam talian, e-Sukan, latihan kemahiran, malah memperkenalkan perkara asas seperti membaca kod QR dan lain-lain akan diperkenalkan di pusat berkenaan.
“Kita berharap dapat membuka peluang bagi mereka untuk mengetahui apa peluang yang ada untuk membuat pendapatan melalui teknologi internet masa kini kerana matlamat kerajaan adalah untuk membantu rakyat meningkatkan pendapatan mereka.
“Selain itu, kita mahu membantu mereka berkomunikasi dengan dunia luar dan pusat ini juga menggunakan sistem internet berkelajuan tinggi, Starlink,” ujarnya. – TVS