MIRI, 5 Jan: Menyambut tahun baharu dengan menyediakan kelengkapan persekolahan anak bukan perkara mudah terutama bagi keluarga yang berdepan cabaran kewangan.
Program amal yang dianjurkan Persatuan Buddha Ortodoks Miri sedikit sebanyak meringankan beban dan memberi peluang kepada ibu bapa untuk memastikan anak mereka memulakan tahun persekolahan dengan kelengkapan mencukupi.
Mazlin Sigi, 45, seorang ibu yang menjaga anak OKU, berterima kasih di atas bantuan yang diterima.
“Saya sangat bersyukur kerana ada pihak yang sudi membantu anak saya yang OKU dan kepada semua yang banyak membantu kami.
“Dengan bantuan ini, saya tidak perlu lagi keluar membeli barang kerana keperluan persekolahannya sudah lengkap. Bagi saya, bantuan ini sangat besar maknanya terutama bagi saya yang menjaga anak OKU.
“Ia memang sukar untuk mendapatkan barang keperluan mereka. Dengan adanya beg sekolah yang diberikan, beban saya terasa lebih ringan,” katanya ketika ditemui TVS di sini, hari ini.
Bagi Lentap Saing, 46, bantuan tersebut turut memberi manfaat besar dalam meringankan beban untuk persiapan sekolah anak-anak.
“Saya berasa gembira kerana bantuan ini dapat meringankan beban saya terutamanya dengan pemberian beg sekolah. Dengan bantuan seperti ini, beban saya terasa lebih ringan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah banyak membantu kami dengan memberikan bantuan kepada para pelajar,” ujarnya.
Dalam pada itu, Angie Cheng, 14, seorang pelajar yang menerima bantuan tersebut turut menzahirkan rasa bersyukur di atas bantuan yang diberikan.
“Setelah menerima bantuan ini, saya merasa sangat gembira kerana saya tidak lagi perlu membeli alat tulis. Bantuan yang diberikan memudahkan saya dan saya ingin mengucapkan terima kasih kerana begitu baik hati membantu kami,” jelasnya.
Bantuan tersebut bukan sahaja memberi kelegaan kepada ibu bapa dan pelajar yang memerlukan tetapi juga menguatkan ikatan perpaduan dalam masyarakat.
Keprihatinan dan semangat kebersamaan itu mencerminkan cara hidup di Sarawak yang mana setiap lapisan masyarakat saling menyokong dan membantu antara satu sama lain demi kesejahteraan bersama.-TVS