Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Bersilat dalam talian, menjunjung seni budaya unggul Malaysia

ByFirdaus Ismail

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 yang menyerang dunia sejak dua tahun lalu dengan bermacam corak varian telah ‘memenjarakan’ terlalu banyak harapan serta melumpuhkan rantaian global.

Bunga-bunga virus berkenaan cukup meruntun jiwa kerana ‘kemusnahan besar’ yang dibawa, namun bagi Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia (Silat Cekak Pusaka Hanafi) , mengangkat bendera putih bukan pilihan mereka dalam perjuangan memartabatkan seni warisan bangsa Malaysia yang cukup tinggi nilainya ini.

Mendepani norma baharu, hari ini lebih 1,000 orang ahlinya berkumpul secara maya bagi meraikan Sambutan Maal Hijrah dan Hari Tenaga Pengajar pada tahun ini.

Lebih istimewa, Silat Cekak Pusaka Hanafi turut mengorak langkah bagi memastikan bunga-bunga silat warisan itu terus mekar dengan melancarkan kelas silat secara dalam talian.

Pewaris Mutlak Silat Cekak Pusaka Hanafi, Dr Md Radzi Hanafi, berkata pihaknya sentiasa bersedia untuk membuka dan meneruskan kembali kelas persilatan di seluruh negara, termasuk di institut pendidikan tinggi (IPT) dan sekolah apabila dibenarkan oleh kerajaan kelak.

“Sehubungan itu, pentingnya untuk para tenaga pengajar agar terus optimis dalam bersama-sama mengharungi cabaran norma baharu. Ingatlah bahawa ‘Silat Boleh Berhenti, Ilmu Jangan Terhenti’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika perasmian program pada hari ini dan seterusnya melancarkan kelas silat secara dalam talian yang pertama di Malaysia.

Sejurus pelancaran, kesemua peserta, termasuk dari United Kingdom, Australia dan Arab Saudi, telah mengikuti pelajaran silat yang disampaikan oleh Md Radzi sekaligus mencatat sejarah persilatan apabila sesi pembelajaran persilatan tersebut diikuti kesemua 1,000 pesilat.

Pada masa sama, penganjur juga tidak menolak kemungkinan bahawa ia merupakan kelas silat dalam talian yang disertai paling ramai pesilat secara serentak pernah dianjurkan.

Mengulas lanjut, Md Radzi berkata, majlis hari ini turut mengimbau kejayaan persatuan itu mencipta rekod dunia enam tahun lalu.

Pada tarikh ini lewat 2015, beliau telah mengetuai anak-anak muridnya memahat nama dalam Guinness World Records menerusi pengiktirafan ‘Largest Silat Lesson’ di Stadium Merdeka.

“Ketika itu, kami telah bersilat secara serentak seramai 12,393 pesilat. Oleh itu, saya berharap program hari ini dan iltizam kami akan dapat menjadi elemen penting dalam pembentukan insaniah bertaraf global serta memupuk semangat perpaduan dan nasionalisme tinggi melalui acuan budaya yang disesuaikan mengikut keperluan semasa, terutama dunia tanpa sempadan pasca-pandemik COVID-19,” katanya.

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan