KUCHING , 4 Jan: Seorang lelaki dilaporkan maut selepas rumah yang didiaminya runtuh dalam satu kejadian di Lorong 17, Jalan Stampin Baru di sini awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Jamri Masran berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 2.50 pagi.
“Menurut maklumat daripada orang awam terdapat mangsa berada di dalam rumah tersebut.
“Pasukan keluaran operasi (PKO) kemudiannya bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di lokasi kejadian dan berjaya menemui seorang mangsa lelaki tidak sedarkan diri di bawah runtuhan.
“Pada jam 4.05 pagi, mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan dan disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan KKM”, kata Jamri Masran ketika dihubungi TVS di sini, hari ini.
Jasad mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, mangsa lelaki berusia 58 tahun itu dikenali sebagai Lim Inn Tong.
Seramai lapan anggota berserta sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak tujuh kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya.
Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa dengan kejadian tersebut telah mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan struktur kediaman di kawasan sekitar. – TVS