PUTRAJAYA, 4 Jan: Hasil kerjasama strategik antara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya membawa kepada penangkapan seorang individu yang disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan pemeriksaan kenderaan berat di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) di ibu negara.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan individu tersebut diserahkan oleh JPJ kepada SPRM pada petang Jumaat sebelum ditahan selepas keterangannya dirakam di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Siasatan awal mendapati suspek membuat pembayaran rasuah berjumlah ratusan ringgit bagi setiap kenderaan yang diperiksa.
Bayaran tersebut dipercayai diberikan sebagai balasan untuk memastikan kenderaan berat lulus pemeriksaan di PUSPAKOM tanpa mengira keadaan sebenar kenderaan.
Kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009, yang memperuntukkan hukuman berat kepada mana-mana individu yang terlibat dalam pemberian atau penerimaan rasuah.
Menurut kenyataan itu, penangkapan tersebut mencerminkan usaha bersepadu dan komitmen teguh SPRM dan JPJ dalam memastikan proses pemeriksaan kenderaan di negara ini bebas daripada sebarang unsur rasuah.
Langkah tersebut bertujuan untuk memelihara integriti sistem penguatkuasaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
SPRM dalam kenyataannya memaklumkan mereka akan terus memerangi amalan rasuah, khususnya dalam sektor penguatkuasaan, demi memastikan perkhidmatan awam kekal telus, berintegriti dan mendapat kepercayaan rakyat.
Tindakan tegas seperti itu diharapkan dapat menjadi pengajaran kepada semua pihak agar menjauhi sebarang amalan rasuah dan memastikan undang-undang serta etika kerja dipatuhi sepenuhnya. – TVS