Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Norul Ridzuan Zakaria bersama Nasruddin Mohamad, Wan Abdul Aziz Wan Ahmad dan Mohd Mehraj Wahap pada majlis pemeteraian MoU di Kuching, hari ini. Foto TVS

Astrum Dynamic, Spaceport Malaysia meterai MoU dalam pembangunan sektor angkasa lepas

ByAhmad Burhanuddin

KUCHING, 3 Jan: Astrum Dynamic Sdn Bhd, Spaceport Malaysia dan Spaceport Malaysia Sarawak hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang bakal membuka lembaran baharu dalam pembangunan infrastruktur, teknologi dan penyelidikan sektor angkasa lepas di Sarawak.

Pengasas Spaceport Malaysia, Norul Ridzuan Zakaria berkata MoU ini bertujuan menjalankan kajian komprehensif untuk mengenal pasti kaedah serta lokasi terbaik bagi membangunkan fasiliti pelancaran angkasa di negeri ini, dengan Sematan dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi.

“Bagaimanapun, belum lagi dibincangkan jenis atau metodologi pelancaran tersebut, hanya lokasinya sudah dinyatakan dan juga secara umumnya Kerajaan Persekutuan turut bersetuju bahawa Sarawak merupakan peneraju kepada industri pelancaran ini.

“Sebab itu, pihak kami memang bercadang untuk menjalankan kajian dan menyatakan sokongan terhadap saranan tersebut, tetapi kita yakin bahawa ia memerlukan kajian yang lebih mendalam mengenai metodologi yang paling sesuai,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani MoU tersebut.

Turut hadir, Presiden Spaceport Sarawak Chapter, Nasruddin Mohamad, Pengerusi Astrum Sdn Bhd, Wan Abdul Aziz Wan Ahmad dan Pengarah Urusan Astrum Sdn Bhd, Mohd Mehraj Wahap.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kajian tersebut yang dijadual bermula pada Februari ini, dijangka selesai dalam tempoh enam bulan dan akan dijalankan secara berperingkat manakala laporan kemajuan pula akan dikemas kini setiap dua bulan.

Menurut Norul, antara kaedah pelancaran yang sedang dipertimbangkan termasuk penggunaan roket boleh guna semula sepenuhnya dan sistem pelancaran udara, yang dilihat lebih selamat serta mesra alam.

“Yang pasti, kita akan elakkan penggunaan roket pelbagai peringkat iaitu roket konvensional yang mana ia mempunyai beberapa bahagian yang perlu digugurkan sama ada di laut atau di sebelah timur Sarawak (Kalimantan). Jadi metodologi mengenai perkara itu belum lagi dipastikan,” ujarnya.

Jelasnya, pembangunan fasiliti dalam sektor angkasa berpotensi mencetuskan impak ekonomi yang besar, mengambil inspirasi daripada kejayaan Kennedy Space Center di Orlando, Amerika Syarikat, yang telah ditransformasikan daripada kawasan paya bakau menjadi hab ekonomi utama setelah diambil alih oleh agensi National Aeronautics and Space Administration (NASA).

Kata Norul, beliau yakin jika projek ini direalisasikan, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri berkaitan seperti penghasilan bahan api roket, teknologi satelit dan penyelidikan angkasa di Sarawak.

Tambahnya lagi, sebagai langkah awal, pihaknya turut mencadangkan pembangunan siri satelit berskala kecil yang dikenali sebagai Kenyalang-1 (Sarawak Super Spectral Satellite).

“Sarawak ini mempunyai semua syarat untuk menjadi negeri pengendali satelit, jadi kita cadangkan satu bentuk satelit yang dipanggil Kenyalang-1 dan kita pilih nama Kenyalang ini kerana kita hendak memperkenalkan Sarawak kepada seluruh dunia,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan