MAGDEBURG (Jerman), 3 Jan: Pendakwa raya Jerman sedang menjalankan penilaian mental terperinci terhadap suspek serangan melibatkan kenderaan di pasar Krismas Magdeburg yang mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lebih 230 orang, lapor agensi berita Jerman dpa.
Suspek, dikenali sebagai Taleb A, 50, seorang doktor perubatan yang berasal dari Arab Saudi, memandu keretanya ke arah orang ramai di pasar itu pada 20 Disember lalu dan kini ditahan. Lelaki itu dilaporkan sudah dikenali pihak berkuasa sebelum insiden berlaku.
“Kami akan mendapatkan pendapat pakar untuk menentukan sama ada dan sejauh mana beliau mengalami masalah mental,” kata jurucakap pejabat pendakwa raya kepada dpa pada Khamis.
Penilaian pakar itu dijangka meneliti sama ada Taleb A boleh dianggap bertanggungjawab secara jenayah di bawah undang-undang Jerman.
Pejabat pendakwa raya mengesahkan kepada dpa bahawa sepucuk surat wasiat bertarikh pada hari serangan ditemukan dalam kereta suspek.
Siasatan sedang dijalankan untuk menentukan sama ada wasiat itu ditulis sendiri oleh lelaki itu, kata jurucakap berkenaan.
Ujian dadah pantas dan ujian darah telah dilakukan selepas kejadian, namun pejabat pendakwa raya enggan mengulas mengenai hasil siasatan itu.
Rumah dan tempat kerja doktor itu di bandar Bernburg, kira-kira 40 kilometer ke selatan Magdeburg, telah digeledah selepas kejadian.
Siasatan dijangka berterusan selama beberapa minggu.
Selain tindakan suspek, siasatan turut meneliti rancangan keselamatan di pasar Krismas berkenaan dan sama ada polis tempatan bersedia dengan secukupnya untuk menghadapi serangan seperti itu. – TVS