MIRI, 3 Jan: Polis mengesahkan bahawa rangka manusia yang ditemui di kawasan semak Batu 7, Jalan Miri-Bintulu pada 12 Disember 2024, adalah milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata laporan mengenai penemuan tersebut diterima pada jam 8:40 malam pada hari kejadian.
“Rangka si mati telah dihantar ke Bilik Mayat Hospital Miri untuk siasatan lanjut. Sampel tulang si mati dan sampel darah daripada waris diambil untuk ujian DNA bagi pengesahan identiti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Alexson, sampel DNA tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Kuching untuk analisis dan hasilnya mengesahkan bahawa rangka itu adalah milik Musah Mantali.
Ujian DNA menunjukkan 99.9 peratus persamaan dengan sampel darah anak lelakinya, Ismail Musah.
Beliau turut memaklumkan bahawa waris si mati telah dimaklumkan mengenai keputusan ujian DNA tersebut. Rangka itu telah dituntut oleh keluarga untuk urusan pengebumian.
Siasatan lanjut sedang dijalankan untuk memastikan tiada unsur jenayah terlibat dalam kes ini.
Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung penemuan rangka tersebut agar tampil memberikan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Sekiranya ada sesiapa yang mempunyai maklumat, sila hadir ke balai polis berhampiran atau hubungi talian 085-433730,” katanya. – TVS