MIRI, 3 Jan: Ketua masyarakat digalakkan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melalui Program Teman Pili Bomba bagi membantu menjaga dan melindungi pili bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah berkata pihaknya menghargai keprihatinan diutarakan Ketua Kaum Tudan Desaras, Muhammad Suhaimi Obeng tentang pili bomba yang mungkin sukar dikesan oleh bomba ketika kecemasan.

“Di kawasan Desaras, kami telah membuat pesanan pili bomba baru,” kata Henry ketika dihubungi TVS, hari ini.
Henry turut menekankan bahawa aduan mengenai vandalisme yang merosakkan pili bomba menjadi salah satu cabaran utama.
Sehubungan itu, beliau menyeru ketua masyarakat untuk memainkan peranan aktif dalam menjaga dan memelihara kemudahan itu.
“Kebanyakan pili bomba di kawasan ini rosak atau terlindung oleh pokok kelapa, pokok pisang malah ada yang berada bersebelahan reban ayam.
“Saya berharap ketua kampung dapat membuat laporan khas kepada balai bomba supaya tindakan selanjutnya dapat diambil,” katanya.
Terdahulu, Muhammad Suhaimi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera untuk memastikan semua pili bomba di kawasan itu berfungsi dengan baik.
Gesaan ini dibuat susulan kejadian kebakaran yang berlaku di Tudan Desaras pada 10 September lepas yang memperlihatkan cabaran dalam akses kepada pili bomba.
“Kadang-kadang pili bomba sukar ditemui, mungkin kerana tertimbus atau sudah tidak berfungsi. Malah, ada yang telah masuk ke dalam kawasan longkang,” katanya. – TVS