KUALA LUMPUR, 29 Ogos : Jumlah populasi dewasa di negara ini yang telah melengkapkan suntikan vaksin kini mencapai kadar 61.9 peratus.
Menurut kemaskini Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV), ia mewakili seramai 14,487 972 individu dengan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan paling tinggi iaitu sebanyak 93. 2 peratus.
Ini diikuti Lembah Klang yang mana seramai 5,518 094 juta telah melengkapkan vaksinasi dengan peratusan sebanyak 89.5 peratus.
Menurut laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) , peratusan tinggi kadar vaksinasi dewasa di WP Labuan sudah mula menunjukkan hasil memberangsangkan dalam melawan pandemik COVID-19 apabila kes kemasukan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kematian semakin berkurangan di wilayah berkenaan.
Pada masa sama, hospital -hospital di Lembah Klang juga mula mencatatkan penurunan kes kemasukan ICU seperti mana yang berlaku di Hospital Tunku Ampuan Rahimah, Klang yang mencatatkan penurunan 50 peratus selain perkembangan sama juga berlaku di Hospital Kuala Lumpur.
Sementara itu, kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Sarawak ketika ini merupakan yang ketiga tertinggi di Malaysia apabila mencapai 86.6 peratus atau seramai 1,769 107 juta orang .
Berhubung perkembangan vaksin peringkat global, data dikeluarkan oleh Universiti Johns Hopkins menunjukkan Malaysia kini berada di kedudukan ke-44 dunia bagi kategori keseluruhan populasi telah lengkap divaksin iaitu pada kadar 44. 75 peratus.
Kedudukan itu menjadikan Malaysia sebagai negara ketiga tertinggi di Asia Tenggara yang telah mevaksin keseluruhan rakyatnya iaitu di belakang Singapura (76.43 peratus) dan Kemboja (50.20 peratus). -TVS
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.