KUCHING,30 Dis: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik kenyataan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mencadangkan agar venue pertandingan untuk Sukan SEA 2027 berpusat di bandar raya ini.
Menurutnya, cadangan tersebut adalah langkah tepat bagi memastikan penganjuran Sukan SEA 2027 berjalan lancar, dengan penumpuan logistik dan kemudahan infrastruktur di Kuching.
“Sacara dasarnya saya bersetuju,namun kita akan berunding lagi kerana perkara ini belum diputuskan.
“Kemungkinan kalau boleh juga saya mahu penganjuran Sukan SEA ini boleh melibatkan bahagian Samarahan kerana jaraknya dengan Kuching hanya 20 minit sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas melakukan tinjuan persiapan akhir Sambutan Ambang Tahun Baharu 2025 di Tebingan Kuching di sini, hari ini.
Tambah Abdul Karim, terdapat banyak permintaan daripada bahagian-bahagian lain di Sarawak agar kawasan mereka juga dilibatkan sama serta memberi sumbangan terhadap penganjuran sukan beprestij di Asia itu.
“Bagaimanapun apa yang boleh saya katakan, ini terpulang kepada pihak jawatankuasa pusat nanti,” ujarnya.
Terdahulu, Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib mahu venue pertandingan berpusat dipilih di sekitar Kuching apabila Sarawak menjadi tuan rumah bersama sukan SEA 2027.
Menurur Nazifuddin pihaknya tidak mahu venue pertandingan berselerak seperti Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak pada Ogos lepas.
Dalam pada itu Abdul Karim menegaskan bahawa Sarawak bersedia untuk memberikan pengalaman terbaik kepada para kontinjen dengan memanfaatkan fasiliti sukan bertaraf antarabangsa yang sedia ada dan sedang dipertingkatkan. – TVS