KUCHING, 30 Dis: Festival Jabat Sejagat 2024 berperanan sebagai wadah dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat terutama generasi muda.
Pengerusi Pengelola Festival Jabat Sejagat 2024, Mohamed Ali Zainudin berkata pertandingan silat ini berupaya mencungkil serta mengetengahkan bakat pencak silat anak muda.
“Objektif utamanya ialah, pertama, untuk kita merapatkan kekuasaan perpaduan dalam kalangan pengamal silat.
“Yang keduanya ialah untuk kita mencungkil atau kita melihat potensi anak-anak silat untuk diketengahkan pada kejuaraan-kejuaraan yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada Festival Jabat Sejagat 2024 di Sarawak TM Hub di sini, malam tadi.
Menurutnya lagi, Festival Jabat Sejagat 2024 mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pesilat-pesilat Sarawak dan luar negara.
Katanya, pada peringkat awal pertandingan tersebut terbuka kepada peserta dari Kuching sahaja namun terdapat permohonan agar ia turut dibuka kepada peserta luar yang kemudiannya menyaksikan penyertaan 351 pesilat.
Pihaknya turut bercadang Festival Jabat Sejagat diadakan sebagai aktiviti tahunan di Sarawak.
“Pada tahun akan datang, ia akan dilaksanakan sekali lagi dan semoga kami bersama untuk menjadikan sebagai satu program tahunan Sarawak khususnya,” jelasnya. – TVS