JAKARTA, 29 Dis: Kerajaan memantau beberapa destinasi pelancongan di Jawa Barat bagi memastikan perkhidmatan optimum kepada orang ramai sepanjang cuti akhir tahun, lapor Agensi Berita Indonesia (Antara).
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu, Kementerian Pelancongan berkata pemantauan dilakukan di destinasi pelancongan di daerah Bandung Barat dan bandar Bandung.
Aktiviti itu melibatkan pasukan daripada Politeknik Pelancongan NHI untuk memastikan kualiti perkhidmatan di destinasi pelancongan sepanjang tempoh cuti panjang.
Di Bandung Barat, pasukan itu meninjau perkhidmatan pelancongan di Pasar Terapung dan Kota Mini di kawasan Lembang.
Berdasarkan semakan pasukan itu, pihak pengurusan destinasi pelancongan mengambil langkah untuk menghadapi peningkatan kunjungan pelancong sepanjang cuti akhir tahun termasuk menyediakan perkhidmatan pembelian tiket secara digital dan memperluas kawasan parkir.
Selain itu, pihak pengurusan turut menyediakan lorong khas untuk pelawat dengan keperluan khusus, seperti warga emas dan orang kelainan upaya (OKU), serta meningkatkan bilangan anggota keselamatan bagi memastikan kelancaran.
Pasukan itu juga mendapati pengurusan memastikan kebersihan kawasan awam dengan menambah tong sampah sepanjang tempoh cuti.
Pihak pengurusan turut mendirikan khemah dan menyediakan payung untuk pengunjung sekiranya hujan.
Menurut pasukan itu, kedua-dua destinasi pelancongan di Lembang mencatatkan peningkatan 30 peratus dalam lawatan pelancong semasa cuti, menunjukkan minat tinggi orang ramai untuk mengunjungi kawasan pelancongan di Lembang. – TVS