KOTA SAMARAHAN, 28 Dis: Dua lelaki diberkas kerana memiliki dadah syabu ketika rondaan anggota MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan di Taman Merlin di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Jaimi Husin berkata, dalam rondaan itu anggota terserempak dengan sebuah kereta jenis Naza Citra warna hitam di parkir di sebelah kiri jalan dan kelihatan dua lelaki sedang duduk di dalam kereta bahagian pemandu dan penumpang hadapan dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota MPV yang bertugas terus membuat pemeriksaan ke atas kedua-dua lelaki tersebut sambil memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan menunjukkan kad kuasa kepada mereka.
“Selepas membuat pemeriksaan terhadap tubuh badan kedua-dua lelaki terbabit tiada menjumpai apa-apa barang yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, anggota MPV kemudian membuat pemeriksaan di dalam kenderaan tersebut dan menjumpai satu bekas berwarna putih bertulis perkataan Mr DIY USB head light.
“Apabila diperiksa di dalamnya terdapat satu paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.11 gram di bahagian poket belakang tempat duduk kerusi pemandu.
“Kedua-dua lelaki telah ditangkap dan dibawa ke Balai Polis Kota Samarahan untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-TVS