SARIKEI, 26 Dis : Seramai 1,100 pelajar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang mendapat manfaat daripada Program Kembali Ke Sekolah anjuran Saberkas Cawangan Kuala Rajang dan Pusat Khidmat PBB N.41 Kuala Rajang tahun ini.
Sehubungan itu, sebanyak RM125,000 diperuntukkan bagi menjayakan penganjurannya melalui pembelian pelbagai kelengkapan persekolahan.
Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh berharap sumbangan dapat memberikan suntikan semangat kepada penerima untuk menjadi pelajar terbaik dan belajar bersungguh-sungguh demi membina masa depan yang lebih cemerlang.
“Objektif program ini adalah untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan. Selain itu, program ini diharapkan dapat memberikan suntikan semangat untuk belajar kepada semua pelajar dan murid yang terlibat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, penganjuran program ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen, kerjasama dan keprihatinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu membangunkan sosioekonomi masyarakat.
Katanya, program Zon Tanjung Manis melibatkan tujuh sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Belawai, Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Gesa, Belawai, SK Abang Buyuk, Jerijeh, SK Abang Galau, Rajang, SK Stalon, SK Bayang, Belawai dan SK Tanjung Manis.
“Jumlah keseluruhan pelajar yang menerima sumbangan ialah seramai 370 orang penerima yang merupakan anak-anak kurang berkemampuan dan anak yatim,” katanya.
Manakala, Zon Sarikei pula melibatkan lima sekolah iaitu SMK Sarikei Baru, SK Abang Haji Matahir, Sarikei, SK Agama, SK Sarikei, dan SK Sentebu dengan jumlah penerima seramai 317 orang pelajar.
“Kita juga tidak lupa menyalurkan sumbangan kepada seramai 348 orang pelajar di kawasan lain seperti Selalang, Kerubong Kerapa, Sare dan Muara Payang. Sumbangan untuk seramai 348 penerima itu akan diserahkan pada 30 Disember ini.
“Semoga program yang dianjurkan sejak 10 tahun lalu ini dapat meringankan bebanan ibubapa dan saya juga merakamkan terima kasih kepada guru-guru, ibu bapa, ahli Saberkas dan Pusat Khidmat PBB N.41 Kuala Rajang yang membantu melancarkan program ini,” katanya.– TVS