Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini Isnin lepas, masih tidak mengetahui ibu bapa mereka sudah meninggal dunia. Foto fail Bernama

Nahas KM204: Dua beradik belum tahu ibu bapa sudah meninggal

ByBernama

MELAKA, 25 Dis: Dua beradik yang terselamat dalam kemalangan ngeri membabitkan lima kenderaan di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini Isnin lepas, masih tidak mengetahui ibu bapa mereka sudah meninggal dunia.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Datuk Ngwe Hee Sem berkata perkara tersebut masih dirahsiakan memandangkan Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, dan Nur Sofea Humaira, 4, masih mendapatkan rawatan termasuk baru menjalani pembedahan di bahagian kaki.

“Tak beritahu sebab takut mereka emosi. Walaupun mereka sedar tapi keduanya masih sakit dan saya tak pasti sama ada kanak-kanak itu ada bertanyakan ibu bapa mereka atau tidak,” katanya kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak tersebut di Hospital Melaka di sini hari ini.

Beliau berkata kedua beradik itu dijaga ahli keluarga mereka sejak malam kejadian dan setakat ini kesihatan mereka menunjukkan perkembangan agak baik.

“Muhammad Uwais dijadualkan akan menjalani pembedahan pada paha kanannya yang pecah dan masih dipantau di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala adiknya Nur Sofea sudah selamat menjalani pembedahan di bahagian paha kirinya yang patah dan keduanya berada dalam keadaan stabil,” katanya.

Dalam kejadian pada 8.45 malam itu, tujuh maut termasuk ibu bapa dua beradik tersebut iaitu Khairul Ikhwan Mazupi, 32, dan Fadzlenna Ramli, 32, serta adik bongsu mereka Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2, di samping datuk dan nenek Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69.

Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56, dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66, manakala 33 orang lagi cedera.

Kemalangan membabitkan sebuah bas persiaran yang membawa 27 penumpang, dua lori, sebuah kereta dan kenderaan pelbagai guna (MPV). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan