JAKARTA, 24 Dis: Seramai 141,604 anggota terdiri daripada polis dan Tentera Darat akan dikerahkan bagi mengawal keselamatan pada perayaan Hari Krismas hingga sambutan Tahun Baru 2025 di seluruh wilayah Indonesia.
Mereka yang terlibat akan ditempatkan di 61,452 lokasi yang menjadi tumpuan seperti gereja, tempat perlancongan, dan pengangkutan.
Menurut Ketua Polis Indonesia, Jeneral Listyo Sigit ketika meninjau Gereja Katedral petang tadi, pasukan keselamatan sedang melakukan persiapan rapi bagi mengawal sambutan sejak malam ini.
“Pasukan telah ditempatkan di titik-titik yang menjadi tumpuan orang ramai bagi memastikan keselamatan sepanjang musim perayaan dan saya telah melihat lokasi secara langsung,” katanya.
Tegasnya, beliau telah mengarahkan semua anggota menjalankan kawalan keselamatan bermula daripada pensterilan pada peringkat awal, sehingga memastikan semua prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan berjalan dengan baik.
Dengan penempatan pasukan Sigit diharapkan majlis sambutan ibadat yang juga bertepatan dengan cuti akhir tahun dapat dikawal dan penduduk berasa selamat.
Pasukan itu juga telah bersedia untuk menangani pelbagai ancaman jenayah seperti keganasan juga bencana alam berikutan amaran cuaca ekstrem pada akhir tahun ini. -TVS