KUCHING, 24 Dis: Salah seorang daripada tiga mangsa kru Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang hilang dipercayai karam di Pulau Burong di sini, selepas keluar ke laut pada 17 Disember lalu dijumpai selamat di kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, mangsa, Oeun Van,37, warganegara Kemboja ditemui nelayan tempatan di kawasan perairan Asajaya jam 3.30 pagi.
“Mangsa telah dibawa ke Klinik Asajaya untuk rawatan lanjut pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dengan penemuan itu dua lagi mangsa masih gagal ditemui.
“Dua lagi mangsa yang masih hilang ialah Chaloem Sonada warganegara Thailand dan Thy Ny warganegara Kemboja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) bagi mengesan dua lagi kru Vesel Nelayan Tempatan (VNT) yang masih hilang.
Menurutnya, berdasarkan maklumat pengadu yang diterima pada pukul 6.43 petang kelmarin oleh Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Kuching, Maritim Malaysia telah mengaktifkan Ops CARILAMAT pada pukul 7.10 petang hari yang sama dengan mengatur gerak aset BOT PENGAWAL 42 ke lokasi kejadian.
“Tiga mangsa, Khlok Sem warganegara Kemboja, Adikah dan Irman masing-masing warganegara Indonesia telah berjaya diselamatkan oleh VNT lain di kedudukan 3.5 batu nautika barat Pulau Burong dan dibawa ke Jeti Kampung Goebilt lebih kurang pukul 6 petang semalam.
“Lokasi terakhir VNT dilaporkan adalah di kedudukan 7.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Sipang sebelum mengalami kebocoran di bilik enjin. Ops CARILAMAT diteruskan dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Pangkalan Hadapan CARILAMAT (PHC) ditubuhkan di Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin Ibu Pejabat Maritim Negeri Sarawak, Muara Tebas bermula hari ini.
“Maritim Malaysia akan sentiasa bersiap siaga dalam apa juga situasi termasuk memberi bantuan kepada komuniti maritim walaupun dalam keadaan laut yang sangat bergelora,” ujarnya.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak / MRSC Kuching melalui talian 082-432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.-TVS