KUCHING, 23 Dis: Warga Happy Garden di sini pastinya akan lebih ceria dengan pelaksanaan Projek Bandar Selamat yang akan mengukuhkan aspek keselamatan dan keselesaan komuniti selain memperkasakan kebersihan serta kehijauan alam sekitar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, komuniti di Happy Garden serta kawasan di sekitarnya akan merasa lebih selesa dan selamat dengan adanya fasiliti, infrastruktur serta ciri-ciri keselamatan yang disediakan dalam Projek Bandar Selamat itu.

“Motif utama pelaksanaan projek ini adalah untuk memastikan masyarakat hidup dengan selesa dan tenang tanpa adanya rasa takut di kawasan kediaman mereka. Oleh itu, kita menambah lampu jalan yang bermanfaat untuk menerangi kawasan yang gelap.
“Selain itu, kita akan memastikan rumah terbiar diberi perhatian untuk mengelak individu seperti penagih dadah menggunakan tempat berkenaan serta memastikan persekitaran kawasan taman ini bersih dan terjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selesai lawatan kerja ke tapak Projek Bandar Selamat di Kuching, pada Isnin.
Menurutnya, Projek Bandar Selamat yang juga merupakan inisiatif Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama rakan strategik termasuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan badan penyelaras projek, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) itu siap sepenuhnya dengan kos RM332,099.09.
Program tersebut turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pemimpin dan komuniti setempat.
Antara fasiliti yang menjadi komponen penting dalam projek tersebut termasuklah pemasangan pengasingan laluan pejalan kaki dari laluan bermotor di Jalan Nanas, pemasangan penghadang kenderaan ringan seperti motosikal di Taman Komuniti Happy Garden dan papan tanda peringatan jenayah dan talian kecemasan.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman. -TVS