KUCHING, 22 Dis: Pemuzik legenda Malaysia, Alleycats menggamatkan Redeem Centre Bau dengan dendangan lagu popular mereka yang menjadi siulan masyarakat berbilang kaum suatu ketika dahulu.
Pengurus Konsert Alleycats Hasweera Hassan berkata, penganjuran konsert tersebut adalah sebagai kemuncak acara Battle Of The Band yang berlangsung selama dua hari di Redeem Centre Bau.
Menurutnya, konsert tersebut juga merupakan penampilan sulung Alleycats secara langsung menghiburkan peminat mereka di Sarawak.
“Konsert Alleycats live di Borneo adalah selepas battle of the band untuk memeriahkan lagi suasana kita di Bidayuh Culture Village.
“Jadi kita harapkan cuaca yang bagus agar kita dapat memberi kemeriahan kepada penduduk Singai, Bau dan sekitarnya kerana ini konsert pertama Alleycats di Borneo,” katanya semasa ditemui pemberita ketika Konsert Alleycats di Redeem Centre Bau di Bau pada Sabtu.
Tambahnya, jualan tiket untuk Konsert Alleycats mendapat sambutan yang memberansangkan kerana sebanyak 70 peratus tiket terjual lebih awal.
Jelasnya, jualan awal tiket konsert kebanyakannya mendapat sambutan daripada penduduk tempatan terutama mereka yang tinggal di kawasan Singai dan Bau.
Antara lagu yang didendangkan oleh Datuk David Arumugam bersama ahli kumpulannya merangkumi Sampaikan Salam, Jika Kau Bercinta Lagi dan Hingga Akhir Nanti. -TVS