SONG, 22 Dis: Seorang lelaki maut dalam insiden kemalangan ngeri membabitkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Temalat di sini, awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Abang Fadzil Abang Marzuki berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada jam 2.27 pagi sebelum mengarahkan sepasukan anggota ke lokasi untuk menghulurkan bantuan.
“Lokasi kejadian kini terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari Balai Bomba dan Penyelamat Song,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, bomba mendapati motosikal jenis Modenas yang dinaiki mangsa rosak teruk akibat pelanggaran itu.
Sementara penunggang motosikal terbabit katanya berada di bawah tayar Lori.
“Kita bertindak membantu mengangkat mayat mangsa sebelum menyerahkankan kepada pihak Polis untuk tindakan seterusnya.
“Identiti mangsa tidak dapat dikenal pasti,” ujarnya. – TVS