SEBUYAU, 21 Dis: Lawatan rasmi Kerajaan Sarawak ke Jepun berjaya menarik minat syarikat antarabangsa dalam sektor ekonomi baharu dan tenaga boleh diperbaharui.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pelaburan tersebut akan mengukuhkan ekonomi Sarawak dan mencipta peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat.
“Kita menerima minat tinggi daripada syarikat Jepun dalam biofuel, Sustainable Aviation Fuel (SAF) dan teknologi ‘waste-to-energy’.
“Ini termasuk potensi besar sisa kayu dan biojisim sebagai sumber tenaga baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Sebuyau di Dewan Pembangunan Sebuyau, hari ini.
Turut hadir Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Awang.
Menurut Awang Tengah, keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan Sarawak serta infrastruktur kukuh seperti Taman Perindustrian Samalaju dan Zon Perindustrian Bebas Samajaya turut mendorong pelaburan semula oleh syarikat yang sudah beroperasi di wilayah ini.
Lawatan itu turut menekankan pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hidrogen, ekonomi sirkular dan teknologi tangkapan karbon (CCUS) selaras dengan dasar Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, untuk mentransformasi ekonomi wilayah.
“Langkah ini penting untuk generasi masa depan dengan peluang dalam sektor teknologi tinggi, startup dan inovasi,” ujarnya.
Lawatan yang padat itu menunjukkan minat tinggi pelabur dalam pelbagai sektor termasuk tenaga dan teknologi, membuka peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi Sarawak yang mampan dan berdaya saing. – TVS