KUCHING, 21 Dis: Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak 2024 telah dipengerusikan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata bertempat di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak semalam.
Mesyuarat kali ini bertujuan menilai pencapaian pelaksanaan KKP peringkat Kontinjen Sarawak sepanjang tahun ini.
Turut dibincangkan berkaitan langkah-langkah yang lebih efektif dalam meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di tempat kerja bagi PDRM Kontinjen Sarawak.
Dalam ucapannya, Mancha menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa yang telah memberi komitmen penuh dalam pelaksanaan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan sepanjang tahun ini.
“Kerjasama dan dedikasi yang telah ditunjukkan telah membolehkan PDRM Kontinjen Sarawak mencapai pelbagai inisiatif yang signifikan dalam memastikan persekitaran kerja yang selamat dan sihat untuk seluruh warga PDRM Kontinjen Sarawak,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Datuk Ibrahim Darus, Ketua Jabatan PDRM IPK Sarawak merangkap wakil majikan di setiap jabatan IPK Sarawak.-TVS