Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Punca lambakan sisa kayu tersekat di Batang Baleh terletak di hulu Sungai Mengiong – Masing

ByOdleen Catherny

KUCHING: Punca bagi kejadian lambakan sisa kayu yang tersekat di Batang Baleh terletak di hulu Sungai Mengiong, kata Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr James Jemut Masing.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, beliau memberitahu bahawa Sungai Mengiong merupakan anak sungai di hulu Sungai Baleh di mana aktiviti pembalakan telah dijalankan di salah satu kawasan yang paling sukar di sana.

Kerja pembalakan dijalankan oleh pengusaha perkayuan bagi salah satu pemegang konsesi, Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA).

“Mereka cuba mengeluarkan kayu komersial sebelum penakungan bermula pada 2026,” jelas Masing.

Beliau menambah, kawasan di mana kegiatan pembalakan dijalankan akan ditenggelami air dalam masa lima tahun akan datang apabila pembinaan Empangan Hidroelektrik (HEP) Baleh siap.

“Pemegang konsesi sedang berusaha sedaya upaya untuk mengeluarkan kayu komersial sebelum 2026 dengan nilai kayu komersial yang akan ditenggelami air kira-kira RM300 juta,” ujarnya.

Masing, yang juga ADUN Baleh, telah melawat lokasi berkenaan untuk menyiasat isu lambakan sisa kayu yang hanyut dan menyebabkan ‘logjam’ besar-besaran di Batang Baleh.

Dalam pada itu, Masing memberitahu selain aktiviti penebangan, hujan lebat yang turun pada minggu lepas tidak membantu mengurangkan hakisan.

“Ini bermakna longgokan puing kayu itu tidak ada kaitannya dengan penanaman berpindah-randah mahupun kerja pembinaan Empangan HEP Baleh,” tegasnya.

Menurutnya lagi, empangan Baleh adalah mangsa dan bukannya penyebab bagi lambakan puing kayu itu.

“Memandangkan sekarang kita sudah tahu penyebabnya, marilah berhenti menuding jari dan maju ke depan, dan keluarkan kayu komersial ini sebelum ia ditenggelami air, termasuk kayu bernilai yang lain dan mungkin dijumpai di Hulu Batang Baleh,” kata Masing.

Turut menyertai lawatan itu adalah Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong, Residen Bahagian Kapit Nyurak Keti, Ketua Polis Kapit DSP Freddy Bian, dan pengusaha kayu di Ulu Sungai Mengiong.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan