LIMBANG, 20 Dis: Dua lelaki tempatan disyaki dalang kegiatan mencuri kabel di sini dicekup polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata ketiga-tiga kes curi kabel berkenaan dilaporkan berlaku pada 13 dan 18 Disember lepas di kawasan Medamit dan Bambangan Limbang.
Beliau berkata suspek 36 tahun diberkas pada Rabu lepas,dan rakan sejenayahnya berusia 40 tahun ditahan pada Khamis lepas hasil risikan dan siasatan yang dijalankan.
Beliau berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang telah bertungkus lumus mengumpul maklumat operasi dan risikan berkaitan kes bagi menyelesaikan kes berkenaan sekali gus mengelakkan kejadian berulang berlaku terutamanya terutama di kawasan-kawasan pedalaman yang mudah menjadi sasaran.
“Dengan tertangkapnya kedua- dua suspek pihak polis telah berjaya menyelesaikan ketiga- tiga kes curi kabel berkenaan,”katanya dalam kenyataan hari ini.
Parum menasihatkan orang ramai agar mengelakkan diri daripada terlibat dengan kes-kes jenayah khususnya kes curi kabel.
Jelasnya kesalahan tersebut boleh membawa hukuman sehingga tujuh tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan hukuman sehingga dua tahun penjara atau dengan denda atau kedua-duanya di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan. -TVS.