KUALA LUMPUR, 19 Dis: Bilangan kes kesalahan amang seksual secara fizikal melibatkan kanak-kanak yang dilaporkan kepada polis pada tahun lepas didapati meningkat sebanyak 21.1 peratus, Dewan Negara dimaklumkan hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, sebanyak 1,389 kes dilaporkan lepada polis berbanding 1,147 kes pada 2022.
Tambah beliau, statistik kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak menerusi media sosial turut meningkat kepada 525 kes pada 2023 berbanding 360 kes pada tahun sebelumnya.
Dewan Negara: Dua bank didenda Bank Negara Malaysia ekoran ‘online banking’ terjejas
“Peningkatan ini sebagai isu serius yang memerlukan perhatian semua pihak.
“Kes amang seksual terhadap kanak-kanak adalah jenayah yang jijik dan amat dikesali. Ia menuntut usaha bersama untuk memastikan perlindungan kanak-kanak dapat diperkasakan,” katanya di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan yang ingin tahu faktor-faktor yang mendorong peningkatan bilangan kesalahan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak di negara ini dan sejauh manakah keberkesanan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH dapat mengekang peningkatan kesalahan ini pada masa akan datang.
Sementara itu tambah Nancy, pelbagai faktor menyumbang kepada peningkatan kes termasuk kekurangan pemahaman kanak-kanak terhadap batasan seksualiti, ketidakfungsian institusi keluarga, nilai budaya yang tidak setara antara jantina, serta akses mudah kepada bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak.
“(Selain itu) faktor persekitaran (termasuk) akses mudah kepada bahan penderaan seksual terhadap kanak-kanak atau bahan lucah boleh meningkatkan risiko salah laku seksual terhadap mangsa.
Dewan Negara: Dua bank didenda Bank Negara Malaysia ekoran ‘online banking’ terjejas
“Pelaku boleh menggunakan bahan tersebut sebagai alat untuk mempengaruhi dan memperdayakan mangsa,” katanya.
Nancy turut memaklumkan kementeriannya telah melancarkan Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak: KASIH Kanak-Kanak yang bertujuan mendidik masyarakat tentang pentingnya melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi dan penderaan.
“Sasaran program ini meliputi kanak-kanak, ibu bapa, guru-guru, dan komuniti setempat.
“Antara aktiviti dalam program ini termasuk ceramah interaktif mengenai hak kanak-kanak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keselamatan kanak-kanak oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta ceramah mengenai buli siber dan gangguan seksual.
“Kanak-kanak juga diajar mengenali perbezaan antara sentuhan yang baik dan buruk, serta cara melaporkan sebarang kejadian jenayah,” ujar beliau. -TVS.