TOKYO, 18 Dis: Syarikat perdagangan Jepun, Marubeni Corporation menyatakan komitmennya dalam pelaburan bahan api penerbangan mampan (SAF) selain projek-projek lestari yang lain di Sarawak.
Komitmen itu disampaikan kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dalam satu pertemuan dengan beliau di sini, hari ini.
Ia juga susulan perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani dengan Invest Sarawak pada Mei tahun ini.
“MoU berkenaan adalah bagi kajian kebolehlaksanaan bagi pengeluaran dan penjualan SAF daripada sumber biojisim.
“Usaha ini turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 yang memfokuskan kepada kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial, dan kelestarian alam sekitar,” ujar kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak.
Awang Tengah yang juga merupakan menteri bertanggungjawab, mengalu-alukan pelaburan itu dan berharap dapat memperkukuh lagi kerjasama antara Marubeni dan Sarawak dalam pembangunan sektor lestari.
Turut serta dalam pertemuan itu ialah Timbalan Menteri MINTRED Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh, Penasihat MINTRED Dato Sri Mohd Naroden Majais dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Sarawak, Timothy Ong. – TVS