KUCHING, 18 Dis: Bank Rakyat merayakan kejayaan Kempen Mega Pembiayaan Peribadi-i yang berlangsung dari 1 September hingga 30 November 2024 dengan mengumumkan 73 pemenang bertuah yang membawa pulang hadiah-hadiah menarik berjumlah lebih RM400,000.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff ketika berucap di Majlis Penyampaian Hadiah di Menara Kembar Bank Rakyat berkata, kempen ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan yang telah menunjukkan sokongan dan kesetiaan mereka selama 70 tahun penubuhan Bank Rakyat.
“Dengan konsep ‘Langgan dan Menang’, kami berhasrat untuk terus menawarkan produk dan perkhidmatan terbaik sambil memberi lebih banyak ganjaran menarik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga turut berkongsi kejayaan kempen yang mendapat sambutan luar biasa, mendorong pihak bank untuk melanjutkan tempoh kempen ini dari 1 Disember 2024 hingga 28 Februari 2025, bagi memberi peluang lebih ramai pelanggan untuk memenangi hadiah eksklusif.
“Antara pemenang utama kempen ini adalah Norayati Johari dari Johor yang memenangi sebuah kereta elektrik BYD Atto 3 sebagai hadiah utama.
“Tempat kedua dimenangi oleh Syahida Zakaria dari Perak yang membawa pulang sebuah motosikal BMW CE 04, manakala tempat ketiga pula disandang oleh Nuzatul Shima Lahudi dari Sabah yang memenangi baucar bernilai RM20,000 untuk menunaikan umrah atau bercuti bersama seorang pasangan,” ujarnya.
Selain itu, katanya, Bank Rakyat juga mengumumkan hadiah istimewa lain seperti iPhone, motosikal Modenas, iPad, wafer emas 5 gram, dan Akaun Pelaburan-i Rizq Plus bernilai RM1,000 kepada 70 pemenang dari seluruh negara.
Tambah Ahmad Shahril, Bank Rakyat juga sedang giat menjalankan pencarian jutawan melalui produk Akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang bakal mengadakan cabutan pada Januari 2025, pelanggan yang mengekalkan baki purata bulanan RM5,000 dalam akaun tersebut berpeluang menjadi jutawan.
Sebagai tambahan, Bank Rakyat turut akan menganjurkan ‘Muslimah Fest 2024’ yang berlangsung pada 20 hingga 22 Disember 2024 di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur. Dengan jangkaan lebih 15,000 pengunjung, festival ini akan menampilkan 70 jenama fesyen muslimah terkemuka, memberikan peluang terbaik kepada pengunjung untuk membuat persiapan lebih awal bagi Ramadan dan Aidilfitri.
Untuk maklumat lanjut mengenai produk dan kempen Bank Rakyat, orang ramai boleh melayari www.bankrakyat.com.my atau menghubungi Pusat Panggilan Bank Rakyat di 1-300-80-5454. -TVS