KUCHING, 17 Dis: Penyata kewangan badan berkanun, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Sarawak berada pada tahap cemerlang dengan kesemuanya memperoleh Sijil Audit Bersih.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata meskipun terdapat beberapa teguran oleh Jabatan Audit Negara, namun ia adalah pada tahap minimum dan tidak membabitkan isu serius.
Beliau berharap agar badan berkanun, PBT dan GLC yang bernaung di bawah jawatankuasa khas kabinet terus berusaha mempertahankan prestasi tersebut dan meningkatkan tahap kecekapan kewangan pada masa hadapan.
“Rumusan daripada jawatankuasa khas kabinet untuk tahun 2024 menunjukkan hampir semua agensi berada pada tahap yang cemerlang.
“Teguran audit semakin berkurangan, hanya dua atau tiga agensi yang ditegur, itupun hanya melibatkan isu teknikal dan bukan sesuatu yang serius,” katanya ketika berucap pada Program Taklimat Pembangunan Integriti Bersama Komuniti di sini, hari ini.
Juanda berkata lagi, terdapat beberapa agensi yang mengalami defisit belanjawan telah diarahkan untuk memperbaiki perancangan kewangan agar masalah sama tidak berulang pada masa depan.
“Setiap belanjawan perlu dibuat berdasarkan keperluan sebenar agensi dan kemampuan untuk melaksanakannya,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pihak Setiausaha Kewangan Negeri akan menarik balik peruntukan yang tidak dibelanjakan bagi diagihkan kepada agensi lain yang memerlukan.
“Penyediaan belanjawan perlu dilakukan dengan lebih teliti agar tidak berlaku defisit. Agensi perlu memastikan perancangan dibuat berpandukan keperluan dan kemampuan masing-masing,” katanya.