KUCHING, 16 Dis: Sarawak Forestry Corporation (SFC) mengesahkan Paus Sei direkodkan pertama kali di perairan Sarawak susulan penemuan bangkai mamalia laut itu di Batang Lupar pada November lepas.
Pengurus Besar SFC, Abang Arabi Abang Aimran berkata pengesahan Paus Sei atau nama saintifiknya Balaenoptera borealis dilakukan melalui ujian DNA.
Ujian DNA itu dilakukan Seksyen Forensik dan Sumber Genetik di Bahagian Penyelidikan dan Pemuliharaan Biodiversiti SFC dengan merujuk kepada National Center for Biotechnology Information.
Bangkai paus tersebut pertama kali dilaporkan oleh penduduk tempatan di media sosial berhampiran Pulau Seduku pada 19 November 2024.
Empat hari kemudian, pasukan SFC menemui bangkai paus yang sudah reput teruk tersangkut di batang besi berhampiran tapak pembinaan Jambatan Triso.
“Spesies paus besar lain yang pernah didokumentasikan di Sarawak, berdasarkan literatur yang diterbitkan dan penemuan terbaru, termasuk Paus Bryde’s, Paus Sperm, Paus Fin, Paus Minke dan Paus Humpback,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, penambahan Paus Sei ini menjadikan jumlah keseluruhan spesies mamalia marin yang direkodkan di pesisir dan perairan laut Sarawak kepada 25 spesies.
“Kepelbagaian spesies mamalia marin yang tinggi mencerminkan kesihatan dan keadaan semula jadi persekitaran laut Sarawak yang masih terpelihara,” katanya.