MIRI, 14 Dis: Dua lelaki yang terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan seorang lagi lelaki warga asing ditahan kerana terlibat dałam aktiviti pengedaran dadah di sebuah bilik sewa bangunan kedai di Pekan Batu Niah di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, kedua-dua suspek ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri pada jam 4 petang.
“Hasil serbuan tersebut telah menjumpai dan merampas 13 keratan tiub straw pelbagai saiz masing- masing berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 5 gram.
“Nilai rampasan barang disyaki dadah dianggarkan berjumlah RM550,” katanya dalam kenyatan hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek telah dibawa ke Mahkamah Miri bagi permohonan reman dan diluluskan selama empat hari.
“Pihak Polis menasihati orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama,” tegasnya.-TVS